sponsor

sponsor

Slider

Theme images by kelvinjay. Powered by Blogger.

Recent Tube

Technology

Life & style

Games

Sports

Fashion

UPSR: Impak positif Tutor di Sabah

Penggunaan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor memberi impak positif kepada 289 sekolah kebangsaan di Sabah dalam keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini. Sekolah terbabit menggunakan Tutor UPSR dan Tutor English dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi memantapkan persediaan calon sejak awal tahun Di Kota Kinabalu, dua calon UPSR Sekolah Kebangsaan (SK) Tansau, 

Nur Ain Sukriman dan Farhah Nadhirah Abdul Rahim memperoleh 6A manakala SK Puun Tunoh pula mencatatkan kelulusan 100 peratus. Daerah Kundasang pula merekodkan sembilan murid memperoleh keputusan 3A, 4A, 5A dan 6A di samping SK Tarawas me­raih keputusan lulus 100 peratus. Pencapaian murid terbanyak yang meraih 3A hingga 6A direkodkan di daerah Kinabatangan dengan jumlah 58 orang terma­suklah dari empat sekolah yang cemerlang iaitu SK Tundun Bohangin, SK Sri Ganda, SK Sapagaya dan SK Abai. Prestasi sekolah di kawasan pedalaman juga membanggakan terutama di daerah Sipitang apabila 21 calon meraih keputusan 3A hingga 6A dan tiga buah sekolah, 

SK Kebawang, SK Ulu Bole dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Boon Sindumin mencatat­kan kelulusan 100 peratus. Empat sekolah dari daerah Sook dan Nabawan, SK Binowou Tengah, SK Kawakan, SK Simbuan dan SK Tulid tersenarai dalam 10 sekolah terbaik bagi kawasan pedalaman. Impak penggunaan Tutor turut melonjakkan SK Binanon dan SK Pohon Batu yang mencatatkan peningkatan keputusan Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik berbanding tahun sebelumnya. 

Secara keseluruhan, sebanyak 333 sekolah rendah dan menengah di Sabah menggunakan 425,000 naskhah Tutor tahun ini. Sekolah-sekolah di Sabah yang ingin melanggan Tutor boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Eksekutif Jualan Utusan Malaysia, Celestina Ubing di talian 012 8020261. 

Kanak-kanak teruja buat cup cake


ARAU 1 Dis. - Musim cuti sekolah kembali lagi dan seharusnya masa yang terluang ini diisi terutama golongan pelajar dengan melakukan perkara-perkara bermanfaat. Justeru, tidak hairanlah pe­nganjuran Kursus Penghasilan Cup Cake dan Hiasan oleh Kolej Komuniti Arau (KKA) di Makmal Pemprosesan Makanan di Jejawi yang dikhususkan untuk pelajar sekolah mendapat sambutan hangat. Seawal pukul 8 pagi, seba­nyak 24 pelajar perempuan yang berusia dari tujuh hingga 15 tahun berkumpul untuk menyertai kursus berkenaan. 

Ada dalam kalangan peserta tersebut yang datang bersama rakan sekolah, jiran, sepupu dan adik-beradik. Wajah masing-masing nampak ceria kerana sangat teruja untuk menghasilkan cup cake yang akan dihias dengan icing (adunan gula halus berwarna-warni), manik dan sebagainya. Walau bagaimanapun, keba­nyakannya mengakui penyertaan dalam kursus tersebut lebih didorong oleh ibu masing-masing yang mahu anak perempuan mereka belajar cara membuat dan menghias cup cake atau kek cawan. Bagi seorang peserta, Aqilah Husna Azmi, 15, dia menyertai kursus itu setelah mendapat dorongan daripada ibunya. “Emak yang mendaftarkan nama saya untuk belajar buat dan hias cup cake supaya saya tidak membuang masa di rumah,” kata pelajar tingkatan ti­ga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri itu. Video oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI Menurutnya, pada musim cu­ti sekolah sebeginilah peluang baginya untuk belajar di kelas sedemikian, memandangkan dia tinggal di asrama. 

Menyertai kursus itu juga memberikannya satu pengalaman menarik selain dapat berke­nalan dengan rakan-rakan yang ditempatkan semeja dengannya. Bagi seorang kanak-kanak, Nor Anisa Balqis Mohd. Farizan, 7, pula dia me­nyertai kelas itu dengan ditemani kakak­nya, Nur Alia Sofea, 10 serta ibunya. “Saya rasa suka sangat hendak belajar buat dan hias cup cake hingga terbawa-bawa dalam mimpi,” ujarnya yang mengakui letih selepas kelas tamat namun tetap gembira kerana dapat mempelajari perkara baharu. Gadis kecil itu memberitahu, dia akan memberikan cup cake yang dihasilkannya kepada ahli keluarganya termasuk ibu, bapa, adik, nenek dan sepupunya apabila pulang nanti. Bagi pasangan adik-beradik, Hanis Sofea Abdul Aziz, 12, dan adiknya, Nurul Aqilah, 11, juga mendapat galakan daripada ibu yang mahukan mereka berdua didedahkan dengan pengalaman membuat dan menghias cup cake. Hanis Sofea berkata, dia dan adiknya teruja ingin belajar ba­gaimana membuat dan menghias cup cake melalui kursus yang diadakan itu nanti akan digunakan untuk membuatnya di 
rumah. 

Katanya, resepi untuk membuat cup cake adalah mudah tetapi untuk menghiasnya agak rumit kerana memerlukan ba­nyak latihan sebelum dapat menghasilkan corak yang lebih cantik. Nurul Aqilah pula berpendapat, bantuan tenaga pengajar juga menjadikan cara membuat dan menghias cup cake menjadi lebih mudah selain merasa seronok kerana berpeluang menyertai kursus berkenaan. Sementara itu, pensyarah KKA, Nurdiyanah Fatin Raslan berkata, kursus tersebut yang berlangsung mulai pukul 8 pagi hingga 1 petang disasarkan untuk pelajar sekolah. “Sekurang-kurangnya pelajar dapat mengisi masa terluang sewaktu musim cuti sekolah lebih sebulan ini agar dapat dimanfaat dengan kursus berfaedah seperti ini,” katanya. Beliau berkata, setiap seorang hanya dikenakan bayaran sebanyak RM30 yang meliputi kit mengandungi resepi, apron dan bahan yang digunakan untuk membuat cup cake dan 
hia­san. Di akhir kursus, Farrah Izzah Mohd. Aishanuddin, 14, diumumkan sebagai pemenang hia­san cup cake paling cantik.